India Markets closed

Dari pelakon ke kerusi pengarah

Farizan Zainal
Dari pelakon ke kerusi pengarah

8 Feb – Walaupun industri perfileman tempatan kini dilihat kurang mendapat sambutan, namun karya-karya dari generasi baru tetap menjadi pilihan para penonton.

Bukan hendak melupakan yang lama, namun seiring dengan generasi baru, karya terkini lebih menepati citarasa penonton masa kini.

Tetapi jika dilihat di dalam kitaran industri perfileman tanah air, mereka yang bergelar pelakon pasti akan menyimpan hasrat untuk menduduki kerusi pengarah satu hari nanti.

Jom kita lihat siapakah pelakon lelaki yang berjaya menempatkan diri mereka sebagai pengarah.

Syamsul Yusof
Nama pelakon ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Syamsul Yusof yang memulakan kerjayanya sebagai pelakon ini, merupakan anak kepada pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam. Bukan bapanya sahaja menghasilkan filem yang mendapat kutipan pecah panggung, Syamsul juga berjaya meneruskan legasi bapanya dengan baik. Syamsul juga merupakan pengarah termuda yang memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 ketika berusia 26 tahun. Siapa yang tidak pernah menonton karya hebat pengarah muda ini? Antara filemnya yang mendapat kutipan tertinggi ialah "Evolusi KL Drift", "Bohsia", "Khurafat" dan "KL Gangster".

Pierre Andre
Pelakon ini pernah menjadi kegilaan ramai wanita satu ketika dahulu. Percakapannya yang romantik mampu mencairkan wanita yang berbicara dengannya.Anak kepada pelakon veteran Khadijah Tan ini memulakan kerjayanya sebagai pelakon mengikut jejak langkah ibunya ketika berusia 20 tahun sebagai pelakon pembantu sahaja menerusi filem "Potret Mistik". Namun, namanya semakin mekar dan sering menjadi watak utama dalam banyak filem. Dia memulakan langkah sebagai pengarah menerusi dilem "9 September" selepas berjaya menghasilkan skrip untuk filem "Jangan Pandang Belakang". Banyak filem bergenre seram dihasilkan oleh pengarah berbakat ini. Filem terbarunya yang baru sahaja habis ditayangkan pada hujung tahun lalu iaitu "Cerita Hantu Malaysia."

Yusry Abd Halim
Yusry KRU bukan lagi nama baru dalam industri hiburan tanah air. Memulakan kerjayanya sebagai penyanyi bersama dua abangnya, KRU terus melebarkan sayapnya sebagai pelakon kerana pakej mereka yang lengkap. Jika anda masih ingat lagi, filem pertama lakonan KRU ialah filem "Awas". Namun, Yusry terus melangkah jauh sebagai pelakon dan akhirnya berjaya menduduki tempat sebagai pengarah tersohor di Malaysia. Boleh dikatakan karya daripada Yusry berbeza daripada karya pengarah yang lain seiring dengan teknologi. Pasti ramai yang masih ingat lagi dengan filem superhero "Cicakman" yang menggunakan teknologi canggih untuk menghasilkan filem tersebut. Tidak setakat itu sahaja, filem sejarah Melayu karyanya "Hikayat Merong Mahawangsa" juga berjaya dinobatkan sebagai filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-24.

Hans Isac
Pelakon kacak ini sudah lama berkecimpung dalam bidang lakonan iaitu sejak tahun 1993 menerusi filem "Ringgit Kasorrga". Dengan pakej yang lengkap, Hans sering menjadi watak utama dalam setiap filem yang diterajuinya. Namun, selepas hampir 15 tahun berada dalam industri perfileman, Hans cuba untuk terjun ke bidang pengarahan dengan filem pertamanya "Cuci", lakonannya bersama Afdlin Shauki dan Datuk AC Mizal. Percubaan pertamanya tidak sia-sia apabila filemnya itu dinobatkan sebagai Lakon Layar Terbaik Pengarah Harapan Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21. Tidak terhenti setakat itu, pada tahun 2013, Hans juga mengarahkan filemnya sendiri lakonan Neelofa iaitu filem "Lemak Kampung Santan".

Farid Kamil
Pelakon kegemaran ramai Farid Kamil sentiasa menjadi idaman para wanita walaupun sudah berumahtangga. Pelakon ini memulakan kerjayanya sebagai model dan seterusnya disunting untuk ke layar perak sebagai watak sampingan pada tahun 2003 menerusi filem "Mistik". Selepas beberapa kali menjadi watak sampingan untuk beberapa filem, namanya terus melonjak selepas memainkan watak utama bersama Erra Fazira menerusi filem " Tujuh Perhentian". Selepas beberapa tahun berlakon, Farid terus melebarkan sayapnya sebagai pengarah menerusi percubaan pertamanya "V3 Samseng Jalanan" dan berjaya tercalon sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23. Namanya terus gah dalam industri perfileman dengan watak Akashah menerusi filem "Lagenda Budak Setan" bersama-sama Lisa Surihani. Farid Kamil juga merupakan di antara insan di dalam bidang seni yang pernah menerima Anugerah Seni Negara daripada Yang DiPertuan Agong

Afdlin Shauki
Anda masih ingat lagi watak Afdlin menerusi filem "Soal Hati" bersama Erra Fazira. Siapa sangka lelaki berbadan comel ini mampu menambat hati penonton dengan telatah lucunya, sekaligus dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-15. Baru beberapa tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Afdlin memberanikan diri untuk mengarahkan filemnya sendiri iaitu "Buli" yang mendapat sambutan hebat dari penonton dan membolot tiga anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-17 iaitu Cerita Asal Terbaik, Sutradara Harapan dan Lakon Layar Terbaik. Selepas kejayaan filem pertamanya, namanya semakin mekar di bibir peminat filem tempatan dan membuat percubaan keduanya menerusi filem "Baik Punya Cilok" dan "Buli Balik". Paling tidak dapat dilupakan filem kekeluargaan arahannya iaitu "Papadom" lakonannya bersama Liyana Jasmay, berjaya dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22. Afdlin masih lagi aktif dalam pengarahan filem di samping melakukan kerja-kerja kebajikan.